Implan biasanya dikaitkan dengan implan cegah kehamilan, implan gigi dan implan payudara. Implan berasal daripada bahasa Inggeris ‘implant’ yang bermaksud memasukkan sesuatu tisu atau objek ke dalam tubuh seseorang semasa proses pembedahan. Oleh itu, proses penggunaan implan adalah bergantung kepada konteks implan tersebut sama ada implan untuk merancang keluarga, implan untuk memulihkan penampilan gigi ataupun implan untuk mencantikkan payudara. Walaupun terdapat definisi lain bagi implan iaitu untuk mengukuhkan sesuatu seperti pada permukaan tanah, dalam konteks perubatan kita hanya berbincang tentang prosedur-prosedur perubatan sahaja. Walau bagaimanapun, jika ada keperluan, info tentang implan akan diperluaskan kepada tema-tema yang lain.
Implan Cegah Kehamilan
Sebaik-baiknya jika anda itu ingin mencegah kehamilan dengan menggunakan implan bagi tujuan perancangan keluarga, doktor anda adalah orang yang paling sesuai untuk anda rujuk terlebih dahulu. Hal ini kerana doktor dapat memberi nasihat yang sewajarnya tentang cara mencegah kehamilan yang berkesan dan memberitahu jika implan adalah langkah terbaik untuk anda. Umum mengetahui bahawa kaedah implan merupakan kaedah sementara yang terbaik untuk merancang kehamilan. Kebaikan cara implan ini kesan penggunaanya dialami dalam tempoh 24 jam selepas diimplan dan tempoh yang sama juga apabila dikeluarkan untuk kembali subur seperti sediakala. Antara kelebihannya pula adalah tidak lagi risau dengan kehamilan setelah diimplan tanpa perlu untuk menemui doktor selalu. Anda hanya berjumpa doktor kembali ketika hendak hamil iaitu menanggalkan implan cegah kehamilan tersebut. Bagi wanita yang mempunyai anemia iaitu kekurangan darah, implan memang sesuai kerana kesannya kadangkala mengurangkan dan menghentikan pendarahan haid.
Namun demikian, kos agak mahal iaitu sekitar RM300 hingga RM700 bergantung kepada insitusi perubatan di tempat anda. Walau bagaimanapun, sekiranya dibuat perbandingan dengan tempoh keberkesan pemakaian implan dan kekerapan suntikan mencegah hamil dan memakai pil perancang, hasilnya lebih kurang sama sahaja dan malah lebih berbaloi lagi bagi wanita kerana tidak perlu risau lagi sekiranya terlupa makan ubat perancang keluarga. Implan cegah kehamilan juga mempunyai jenis-jenis implan tetapi kebiasaanya yang sering digunakan adalah implan ‘Norplant’. Norplant merupakan hormon progestin sintetik yang mengandungi 6 kapsul sekecil batang mancis. Kapsul ini diimplan di bawah kulit pada bahagian lengan. Kelebihan implan ini adalah kehamilan mampu dicegah selama 5 tahun pemakaiannya. Kebarangkalian untuk hamil hanyalah 1 daripada 1000 jika memilih kaedah ini. Kesan sampingan kemungkinan kecil kitaran haid terganggu mengikut tubuh si pemakai. Ada juga yang langsung tidak mengalami kesan sampingan apabila memakai implan tersebut.

Hukum implan dalam Islam dengan niat untuk merancang keluarga adalah harus. Rujuk Fatwa Kebangsaan Tentang Sistem Susuk Norplat.
Implan Gigi
Implan gigi bermaksud gigi tiruan atau gigi palsu ditanam pada gusi untuk menggantikan gigi yang sudah dicabut. Lebih kurang 8 minggu selepas gigi dicabut, gigi tiruan diimplan pada gusi. Tulang rahang gigi akan tumbuh dan sebati dengan tapak gigi tiruan tersebut dan ini mengambil masa selama 6 bulan. Implan gigi lebih kukuh berbanding pemasangan gigi palsu. Gigi palsu tidak begitu menyelesakan kerana pemakainya susah hendak menggigit dengan kuat. Tambahan pula rutin yang melecehkan seperti perlu dibuka sebelum tidur bagi mengelakkan jangkitan kuman sememangnya menjadikan implan gigi sebagai pilihan alternatif bagi yang berkemampuan. Kelebihan implan gigi adalah fungsinya sebagai penambat gigi yang membantu dalam susunan gigi yang sempurna. Bahan titanium digunakan sebagai implan kerana kebaikannya mampu untuk sebati dengan dengan tulang.

Kos implan gigi sememangnya sepadan dengan prosedur implan gigi yang bukannya mudah. Lingkungan harga untuk rawatan implan adalah lebih kurang RM1800 hingga RM3500 bagi sebatang implan gigi. Walau bagaimanapun, terdapat juga implan gigi keluaran tempat yang jauh lebih murah yang dikenali sebagai Novella Ultima. Kosnya hanyalah sekitar RM750 sahaja. Namun demikian, semua kos adalah anggaran sahaja dan anda dinasihatkan untuk merujuk pusat pergigian yang berdekatan untuk mendapatkan nilai yang tepat.
Hukum implan gigi dalam Islam juga adalah harus dan tidak perlu ditanggalkan selepas meninggal. Rujuk Permanent implanting of artificial teeth
Implan Payudara
Implan payudara adalah proses pembedahan untuk mengubah bentuk payudara. Biasanya bahan silikon digunakan untuk menambah saiz payudara sewaktu prosedur pembedahan. Dari aspek psikologi, implan payudara biasanya menjadi pilihan kepada golongan wanita muda yang mempunyai keyakinan diri yang rendah. Lebih-lebih lagi sekiranya individu tersebut mempunyai sejarah hitam yang berkaitan penampilan dirinya misalnya pernah dihina atau diejek.

Namun demikian, dilaporkan bahawa kesan jangka panjang implan payudara seperti komplikasi akibat pembedahan yang memerlukan pembedahan susulan amat membimbangkan. Di Denmark misalnya, 8 peratus daripada pesakit yang menjalani rawatan mempunyai rekod psikiatri di hospital.
Kos implan payudara secara anggarannya sekitar USD3750.
Hukum implan payudara dalam Islam sememangnya haram kerana kerana mengubah ciptaan tuhan.
Sebagai kesimpulan, penggunaan implan untuk tujuan kebaikan adalah tidak salah kecuali implan payudara bagi umat Islam yang nyata haram.